Monday, April 26, 2010

Bermula dari ruang kosong itu..


Bagaimana ye nak saya mulakan entry ni? Hati berkira2 untuk menulis kerana bimbang di salah erti, tetapi saya rasa perlu untuk mencatatkan satu lagi milestone tentang EOG di sini. Mungkin satu hari nanti.. apabila saya sudah berada di hadapan ataupun apabila tiba2 ujian datang dalam hidup saya, dan saya terjatuh, saya akan mengenang kembali.. perjalanan yang telah saya lalui sebelum itu melalui entry seperti ini sebagaimana semalam saya membaca semula kisah awal2 EOG bertapak satu waktu dulu. Mungkin saya akan mendapat kekuatan daripada itu. Manusia kadang2 memang kena selalu diingatkan agar tidak mudah lupa, agar bila berjalan dia tidak mendongak langit dan sentiasa hatinya tunduk ke bumi.

Ok.. tentang apa yang ingin saya kongsikan... InsyaAllah tidak lama lagi Eyes of Grace akan mempunyai galeri, office dan jika ada rezeki lebih, akan mempunyai studio nya sendiri. Galeri ini akan bertempat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Lagi sekali.. bagaimana saya nak cakap ye.. tentang hajat dan cita2 saya yang ini. Terus terang saya katakan.. pada awal kewujudan EOG ini saya hanya bercadang untuk menjadikannya bisnes dari rumah sahaja.. betul.. memang ada keinginan membuka studio ataupun sekurang2nya galeri yang elok sedikit untuk mempamerkan hasil kerja saya seperti orang lain.. tetapi entahlah.. rasa macam sangat susah untuk dicapai.. ataupun saya rasa saya terlalu takut untuk bergerak, bila saya terlalu fikirkan perkara2 lain yang seterusnya membantutkan keinginan saya itu. Dengan suami sahaja saya berkongsi tentang ini.

Saya tahu, pada sesetengah orang, ini hanyalah perkara kecil sahaja..hanya secebis sahaja dari impian mereka.. tetapi tidak bagi saya. Dengan melakukan pekerjaan ini seorang diri dan dengan nasihat suami, impian ini adalah besar bagi saya.

Sebenarnya, awal2nya saya tidak tahu langsung akan wujudnya ruang office ini untuk EOG bertapak. Suami yang secara diam2 mencarikan lot kedai untuk saya, membuat booking dan seterusnya membayar deposit untuk office ini dan dia meyakinkan saya bahawa saya boleh melakukannya dengan bantuan, nasihat, dan tunjuk ajar darinya. Terus terang, saya bukan lah seorang yang ber ‘otak bisnes’.. terlalu cetek ilmu saya tentang itu. Awalnya saya tidak bersetuju dengan langkah ini.. mulalah macam2 yang saya fikir.. cukup ke duit nak bayar sewa bulanan, dengan overhead cost lagi.. tertanggungkah? Tapi nampaknya suami lebih yakin dengan kemampuan saya berbanding dengan diri saya sendiri. Saya diam dan fikir semasak2nya.. jika ingin lebih maju saya kena atasi rasa takut saya.. saya mesti berani melangkah ke hadapan. Walaupun sehingga sekarang saya masih belum dapat 100% keyakinan itu.. tetapi insyaAllah dengan bantuan suami, saya akan mendapat keyakinan itu.

Sebenarnya apa yang saya rasakan sekarang adalah tidak ubah seperti apa yang saya rasakan 2 tahun lebih yang lepas, ketika saya ingin membuat keputusan berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang ini sepenuh masa. Waktu itu sudah tentu yang saya fikirkan adalah tentang pendapatan bulanan saya, tanggungjawab2 yang perlu saya lunaskan setiap bulan, ketiadaan EPF lagi.. heheh.. dan bermacam2 soal kewangan lagi. Mampukah saya? Saya hanya yakin pada satu perkara. Iaitu saya tidak ragu2 dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya yang saya sendiri dahulu tidak tahu ada dalam diri saya. Apabila difikir2 begitu, dalam hati saya selalu berkata.. manusia memang tidak akan pernah cukup.. walau ada wang yang banyak pun, memang tidak akan pernah rasa puas, lalu saya membuang persoalan tentang wang itu di dalam kepala saya dan tidak memasukkannya dalam kepala ketika saya ingin membuat keputusan. Saya tidak mahu meletakkan soal kewangan ini sebagai penghalang saya no 1 untuk maju ke hadapan.

Matlamat saya waktu itu hanya satu, iaitu demi keluarga terutama anak saya. Apabila saya masih bekerja dan membuat kerja2 photography secara sambilan, masa untuk mereka terlalu banyak saya perlu korbankan. Bayangkan sahaja hari biasa saya bekerja, balik rumah sebelah malamnya saya kena buat kerja2 editing sehingga lewat malam, kadang2 tiada masa langsung menonton tv bersama mereka, weekend pula diperuntukkan untuk mengambil gambar, lalu datang rasa kosong dalam hati saya.. mana masa saya untuk mereka? Oleh kerana itulah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya tahu hati saya lebih ke arah bidang ini berbanding dengan kerja saya sebelumnya.. saya dapat kegembiraan melaluinya.. dan saya nak kongsi kegembiraan itu dengan keluarga saya, mana mungkin saya dapat kongsinya dalam keadaan diri saya yang sangat sibuk sampai tiada masa untuk mereka. Lalu, itulah matlamat utama saya, tanpa memikirkan terlalu banyak soal2 sampingan yang lain, saya terus membuat keputusan yang tekad itu dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Saya tahu, walaupun ketika ini saya masih sibuk tetapi sekurang2nya saya dapat melihat anak saya membesar dihadapan mata, memandikannya setiap pagi... menyikat rambutnya, membuatkannya breakfast, menghantarnya ke sekolah dan menjemputnya dari sekolah, dan ketika dahulu saya bersesak2 dalam traffic jam pada waktu petang, sekarang saya mampu mengembirakan anak saya dengan melakukan aktiviti2 petang bersama2. Ada masa mendengar celotehnya dan melakukan perkara2 yang tidak dapat saya lakukan dahulu ketika saya masih bekerja. Puas hati saya bila memikirkan tentang itu. Saya yakin, ini memang sudah tertulis untuk diri saya dan saya melakukan pekerjaan ini dengan penuh keikhlasan dan tanpa ada rasa susah hati, itulah yang saya impikan. Ujian demi ujian pasti datang menyinggah, itu sudah tentu kerana tidak ada apa yang senang dalam hidup ni.. tapi saya belajar untuk menghadapinya dengan tenang dan yang penting saya melakukan sesuatu yang saya sukai. Rezeki itu Allah yang tentukan. Yang penting berusaha.

Ketika awal dulu saya mengutarakan keinginan saya untuk mengambil gambar kanak2 sepenuh masa, pelbagai respon saya terima. Ramai yang menyokong, malah tidak kurang juga yang mengatakan pendapat bahawa saya tidak mungkin dapat hidup jika hanya mengambil gambar kanak2 sahaja. Kata mereka, saya perlu juga ambil gambar perkahwinan dan sebagainya untuk menampung perbelanjaan. Tidak mengapa, saya menganggap kata2 mereka itu sebagai salah satu semangat dan cabaran untuk saya berjaya dalam bidang ini. Ketika itu, bidang fotografi kanak2 masih baru di sini dan tidak ramai yang betul2 menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang ini. Memang ada, tapi kebanyakannya juga ada mengambil gambar perkahwinan. Di situlah saya nampaktapak dan masa depan EOG di mana saya menanam azam ingin menjadi photographer pertama yang specialized dalam fotografi kanak2 dan keluarga sahaja. Dalam hati saya yakin, kalau ingin berjaya, saya perlu concentrate pada satu2 perkara dan betul2 master dalam bidang itu. Setiap orang impian dan caranya berbeza2,, tidak salah cara orang lain itu.. Cuma ini yang saya pilih.. inilah cara saya. Alhamdulillah, walaupun mungkin saya dilihat tidak begitu berjaya seperti orang2 lain, tapi setiap apa yang saya peroleh samada pengalaman, keinginan atau sekecil hama pun peningkatan Eyes of Grace, saya menganggap itulah kejayaan saya. Saya berbekalkan kepada satu keyakinan sepanjang perjalanan saya ini, iaitu saya yakin saya adalah seorang yang Unik dan berbeza dengan orang lain kerana dengan itu sahaja mampu membawa kita pergi lebih jauh.

Begitu juga yang akan saya lakukan dari suatu ruang kosong ini. Ruang kecil yang akan memulakan segalanya. Memang ada angan2, memang ada cita2 tetapi saya tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi, saya hanya walk with the flow tetapi tidak pernah berhenti untuk berusaha dan belajar. Sekarang, saya hanya berdoa segala yang kami rancangkan untuk EOG akan berjalan lancar, dan jika ada tiba2 kesusahan datang menimpa, kami minta dikuatkan hati menghadapi segalanya. Dari ruang kosong ini, akan saya hiaskannya, biarlah kecil dan sederhana tapi cukup bermakna. Dengan sokongan keluarga dan anda semua yang sentiasa menjadi tulang belakang EOG saya harap suatu hari nanti kegembiraan Eyes of Grace ini dapat dikongsi bersama2.

Kadang2 bila kita rasa tak yakin dan tidak mampu, Allah akan menunjukkan jalan dan adakalanya seolah2 terbuka luas jalan itu dan mudah sahaja untuk kita meneroka. Dan adakalanya juga.. kita rasa inginkan sesuatu dan kita rasa itu adalah yang terbaik untuk kita, tetapi sangat sukar untuk kita memporehinya, terasa ada sahaja halangan walaupun kita telah berusaha. Bersangka baiklah, bersabar, kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Dalam melakukan sesuatu, walau dalam apa bidang sekalipun, tanya diri apa yang kita mahukan. Hati yang tenang dan gembira adalah perlu. Kita boleh mengecapi rasa gembira itu dengan melakukan sesuatu yang betul2 ada dalam hati kita, yang betul2 kita suka. Setiap orang ada keistimewaan. Carilah kekuatan yang tersembunyi dalam diri kita, letakkan kasih sayang terhadap keluarga menjadi nombor satu dalam hati.. kerana keluarga juga yang akan mendoakan kita,yakin pada kemampuan dan keunikan diri, InsyaAllah.. rezeki masing2, hayati dan belajar melalui perjalanan kita itu, walaupun lama atau sekejap, pasti lambat laun kita dapat merasa manisnya :-)

ps: Lupa pula saya nak bagitau. kerja2 pengubahsuaian secara kecil-kecilan akan dimulakan pertengahan May ni InsyaAllah, kalau takde apa2 halangan. Doakan semua berjalan lancar ye. Terima kasih!

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors