Monday, February 27, 2012

Still

Ada sesuatu yang tersekat. Terlekat di kerongkong. Ibarat bila diludah matilah emak. Ditelan pula matilah ayahnya. Saya dalam keadaan yang serba tak kena kini. Saya mengharapkan ini adalah hormon bulanan saya semata. Sepantas kilat, mood saya boleh berubah-ubah.. dari pagi saya merasakan gembira dan bahagia, tengahari berkongsi gambar2 hujung minggu saya.. dan baru sekejap petang tadi pula berkongsi gambar-gambar anak dan anak-anak buah saya. Lalu apa yang tak kena dengan saya.

Ntahlah. Bukan niat hendak mengadu domba. Meminta simpati apatah lagi. Bukan selalu.. malah kalau tak silap jarang sekali malah mungkin tidak pernah saya suarakan isi hati saya secara terbuka sebegini. Saya jenisnya menyimpan, menelan, dan kebiasaannya boleh bertahan. Ya, saya kini pun masih boleh bertahan.. cuma saya rasa saya rindu untuk menjadi seperti saya yang dahulu.. yang apa bila tidak terlalu banyak komitmen terhadap kerja yang perlu saya lunaskan. Yang mempunyai masa untuk mengomel dan bercerita. Ya sebenarnya amatlah rindu hati ini untuk menulis di sini.. meluah apa yang terkandung dalam hati. Bercerita dan berkongsi. Memanfaatkan untuk manusia lain.

Tapi kini... luahan itu hanya dapat saya paparkan melalui gambar-gambar yang saya ambil. Terlalu kurang masanya saya dapat bercerita seperti ini. Kalau dapat menulis lima atau enam baris pun sudah cukup bagus. Ke mana sebenarnya saya 'pergi'? Sejauh mana saya mahu 'pergi'. Apa sebenarnya yang saya cari?

Fotografi adalah cinta hati saya. Walau saya tidak mempunyai basic satu apa pun dulu dalam bidang ini. Saya lakukan semuanya dari hati.. Orang kata bila lakukan apa sahaja dari hati, sinarnya akan terpancar. Saya akui itu. Saya bermula dari bawah. Sangat bawah. Berdengket-dengket saya cuba membawa haluan. Orang banyak melihat gembira. Derita kurang sekali mereka kata. Sudah jauh saya pergi walaupun saya ini tidaklah boleh dikategorikan sebagai fotografer yang telah jauh maju ke hadapan yang sudah masyhur namanya, yang terkenal serata dunia. Tapi dari awal, bukan itu yang saya mahu. Bukan itupun yang saya cari. Saya hanya ingin jadi diri saya sendiri. Melakukan ini kerana cinta. Lalu kenapa saya begini malam ini? Apa terlalu banyak yang saya fikir hingga begitu menyesakkan. Apa begitu banyak gambar-gambar yang diedit sehingga merasakan begitu lelah hati ini. Jangan salah sangka wahai teman. Tidak. Tidak pernah sekali pun saya membenci apa yang saya lakukan ini. Tidak pernah sekali terdetik pun kesal di hati dengan perjalanan sejauh in. Malah hati masih bersyukur. Cuma, apa benar seseorang akan mula menilik kembali hatinya.. bila rasanya dalam diri sendiri sudah kurang? Atau ini hanya mainan kepenatan dan kelelahan diri sendiri.

Saya sudah tidak tahu atau mungkin di dalam keadaan separuh sedar menulis ini untuk jadi paparan. Tapi saya rindu. Dalam hati saya rindu dengan 'cinta hati' saya ini. Susah untuk saya memberi kefahaman, kerana mungkin susah untuk difahami. Lalu saya hanya akan terus menjadi saya yang satu ini - bertahan dan terus bertahan. Dan biarlah sabar menjadi teman.

Inspirasi. Tolong jangan pergi.



Bait2 kata dalam gambar ini hanyalah salah satu lirik dari penyanyi Opick yang kini kerap saya pasang muziknya ketika saya memproses gambar. Besar juga impaknya dalam diri saya. Hati tenang mendengarnya.
Tidak, saya tidak punya masalah dengan cinta hati di rumah :-) Bukan mereka. Ini adalah selain dari mereka. Ini adalah tentang cinta saya terhadap fotografi.

Zubye.

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors