Wednesday, December 19, 2012

Damai di hati.




" Some of the best things in life come from the most unexpected places. "
~ Unknown.

Pernah saya terbaca itu. Dan untuk sebulan lebih yang lepas saya dapat dalami maksudnya dan dapat melaluinya bersama keluarga saya Alhamdulillah.

Iya, saya dan keluarga berkesempatan untuk tinggal di satu daerah pedalaman di negeri Terengganu selama sebulan lebih bermula November yang lepas. Kami tinggal di Air Jernih, Kemaman. Ianya merupakan satu pengalaman dan perjalanan yang betul2 mendatangkan kesyukuran, kenikmatan, ketenangan, kedamaian yang susah untuk diluahkan dengan kata-kata. Walau bukan menginap di hotel terkemuka, tiada swimming pool yang selalu menjadi igauan kanak-kanak, tiada shopping mall yang mewah-mewah, tapi saya yakin, ini merupakan percutian yang paling menyeronokkan buat anak saya yang kebetulannya bercuti sekolah buat masa ini. Tentunya masa cutinya tidak dibazirkan begitu sahaja. Sarat dengan ilmu, dengan kegiatan yang bermanfaat, ataupun hanya duduk bersembang dan berkepit dengan mamanya sahaja 24 jam, itupun sudah terlalu besar ertinya buat seorang anak. Kami belajar bersederhana dalam segala hal, belajar untuk mensyukuri setiap waktu yang dikurniakan, belajar untuk merasa cukup dengan yang sedikit, berkongsi dengan apa yang lebih, berada lebih dekat dengan alam dan belajar melaluinya, melihat sekeliling dengan mata hati, berkawan dengan penduduk tempatan, makan di warung, setiap hari menyaksikan matahari terbit di luar rumah, mendengar bunyi unggas dalam kegelapan malam, dan pelbagai lagi. Living in life with full of adventure orang putih kata.

Ahh~~ tentu banyak sekali pengajaran yang dikutip sepanjang di sana dan dibawa pulang ke sini untuk sentiasa beringat, sentiasa bersyukur, sentiasa menghargai dan kasih sayang sentiasa ada. Pengalaman itu sudah pun kami rindui dan pasti selamanya melekat di hati.

Jika ingin diungkapkan satu persatu pengalaman perjalanan kami, pasti esok pun tidak mampu hendak dihabiskan. Jadi hari ini saya hanya ingin mengajak semua untuk merasa kedamaian hati melalui satu tempat ini yang menjadi lokasi rutin kami yang wajib dikunjungi boleh dikatakan pada setiap petang kami di sana.

Ini adalah pantai Kemasik di Kemaman. Dengan letaknya lebih kurang 10 minit perjalanan dari tempat tinggal kami, maka sudah pastilah mudah untuk kami ke sini selalu :-) Namun, walaupun kerap datang kemari, agak jarang sekali saya membawa kamera ke sini. Bunyinya mungkin agak pelik, tapi ketika berada di sana, begitulah, saya tidak mahu ada sebarang 'gangguan' pun apabila saya merasa ingin berkomunikasi dengan alam ini, walaupun hanya dengan sebuah kamera. Lebih lebih lagi rugi rasanya jika tidak dapat menghayatinya betul-betul dengan keluarga lebih lebih lagi bila memikirkan mungkin itulah kali terakhir dapat kami bersama ke sana. Lalu mengambar gambar letaknya di nombor dua. Apa yang penting saya ingin menghayati saat itu dan lekatkan betul2 dalam hati apa yang telah saya perolehi.

Tapi ada satu hari saya decide untuk bawa kamera. Untuk merakam sedikit sebanyak apa yang menarik perhatian saya di sini. Tidak lah terlalu banyak gambar yang diambil,  tetapi sekadar menjadi kenangan untuk diingat, boleh nanti diletak dalam album buat tunjuk kat cucu2 kelak hehehhehe.

Hari itu selepas makan keropok lepor, sotong celup tepung dan ikan celup tepung di warung berdekatan pantai ini, kami seperti biasa memulakan langkah meneroka pantai yang indah. Saya biarkan Irfan dan Abahnya berdua duaan berjalan menikmati alam, sedang saya pula mencari saat saat sesuai untuk merakam. Tetapi dua subjek itu juga yang paling menarik perhatian saya.

Jantung saya berdebar2 melihat mereka berdua jauh meninggalkan saya ketika itu. Sungguh! Saya melihat hanya dari kejauhan moment moment seorang anak dan juga seorang ayah yang banyak berjasa. Hati saya tersentuh dan syukur melihat betapa akrab perhubungan mereka seperti tiada apa yang boleh memisahkan. Setiap apa yang diinginkan si anak, saya lihat si ayah melayan satu persatu. Walau anak sudah pun besar, tetap jua dipimpin tangannya. Ada ketika mereka duduk melihat nun di hadapan sana luas laut terbentang. Melihat birunya langit, putih kepulan awan dan mendengar deruan ombak, merasa tekstur pasir di telapak kaki. Tidak perlu dapat mandi di kawasan pantai ini untuk memperoleh keseronokan. Cukup untuk melihat, merasa dan mendengar dengan mata hati. Dari jauh saya cuba merakam gerak geri mereka. The unguarded moment I want to remember forever. Dua inilah yang memberi kekuatan dan sentiasa ada.

Inilah Pantai Kemasik dari penilaian mata hati saya. Saya harap mampu menjadi komunikasi visual kepada semua yang melihat agar dapat merasa damai seperti saya. Juga terselit sebuah kisah kasih sayang dua manusia. Moga apa yang berlaku di sekeliling kita tidak terlepas begitu sahaja..

Till next entry,

Zubye

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors