Thursday, November 6, 2014

November | Sunday walk

Pergi pagi. Balik petang.
Tidak buat apa pun perancangan awal. Setakat membelek-belek gambar di internet.
Esoknya, bangun tidur, bersiap terus menuju ke destinasi.

Melaka.

Negeri itu yang kami pilih untuk kembara satu hari di hari ahad.
Rasanya tidak perlu ada satu itinerary yang mantap kalau berkunjung ke sini.
Sebut Melaka, sudah tahu di setiap pelusuk nya pasti terbentang sesuatu yang menarik.

Ikut sahaja ke mana kaki mahu melangkah. Hayati dan selami dengan mata hati. Ke mana pergi, pasti akan merasa suka.

Ini bukan kali pertama kami ke sini, cuma plan adhoc seperti ini tidak datang selalu.
Dulu waktu anak masih kecil, banyak yang perlu di fikir sebelum berangkat ke mana-mana. 'Handbag' tambahan kena disedia. Sekarang, bila anak sudah besar, maka makin mudah dan panjang langkah kami bertiga.

Dekat sahaja Melaka dengan rumah kami. Keluar rumah, terus masuk highway, dalam 1 jam 45 minit sudah pun sampai.



Kami parking di Dataran Pahlawan. Dari situ terus berjalan kaki.

Masuk ke Muzium Setem mula-mula. Kemudian berjalan lagi ke A Famosa. Dari situ terus masuk ke Muzium Istana Kesultanan Melaka. Membaca setiap rentetan peristiwa, hati tiba-tiba jadi beremosi.

Kemudian, berjalan lagi menaiki Bukit St Paul. Ambil angin dan melihat sekeliling. Melihat bangunan, melihat manusia, menghayati apa yang ada. Cantik. Selepas itu kami berjalan terus ke bangunan merah yang terkenal; Bangunan Stadthuys. Melihat-lihat lagi. Anak saya gemar bermain berdekatan dengan air pancut di situ. Duduk sekejap ambil angin, kemudian dengan menaiki beca, kami ke Muzium Maritim pula. Seronok kami menaiki beca, bukan selalu dapat merasa. Setelah itu kami masuk ke dalam kapal dan mempelajari tentang sejarah kelautan melaka dan zaman kegemilangannya.

Cukup banyak muzium di sini. Tidaklah sempat hendak melawat semuanya.


Setelah berehat dan menikmati asam pedas melaka sebagai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Jonker Street dengan menaiki kereta. Kami parking kereta di tepi jalan, kemudian berjalan kaki lagi membawa langkah di Jonker Street. Indah, unik, bersejarah, klasik semuanya ada. Tidaklah kami dapat masuk ke dalam semua kedai yang banyak itu, tetapi sempat singgah minum cendol dan makan ondeh-ondeh melaka, masuk ke dalam sebuah art gallery, kemudian membeli sedikit cenderamata. Di situlah berakhirnya perjalanan hari minggu kami di Melaka. 


Melaka. Bangunannya, warnanya, kisahnya tersirat pelbagai makna.

Bulan depan mahu buat plan macam ni lagi. Negeri apa ya pula seterusnya? Orang Negeri Sembilan, boleh saya tahu apa yang menarik di sana?

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors