Thursday, May 7, 2015

Yang terakhir kali

Barangkali saya bukan merupakan adik yang sempurna. Dan terkadang jua, sangat sulit memahami tentang kepayahannya. Namun tidak mahu saya ber kalau kalau di sini.. “kalau dia masih ada..” “andai lah saya sempat...” Sekalipun tidak mahu saya berfikir sedemikian. Saya redha sebenar redha dengan apa yang telah ditentukan. Setiap perencanaan telah diolah cantik oleh Allah untuk saya dan keluarga. Siapa saya untuk ber kalau kalau lagi?

Saya tahu apa yang telah saya lalui ini adalah satu ilmu. Angah lebih banyak mengajar saya setelah dia tiada. Saya ditarbiyah secara langsung melalui sebuah kematian. Ilmu itu tidak terdapat dalam mana-mana buku, melainkan melalui perjalanan hidup yang hendak kita pandang sebagai pengajaran. Ia tidak diajar di mana-mana universiti, melainkan universiti yang namanya kehidupan.
Bagaimanapun jua ilmu yang saya dapat, ianya adalah untuk dimanfaatkan. Malah saya kira ia juga untuk memanfaatkan. Rugilah saya kalau tidak belajar apa2 dari sebuah kematian, malah rugi jugalah saya jika tidak dapat memanfaatkan orang lain melalui apa yang saya alami. Hidup ini tidak lama. Amalan tidak sebanyak mana. Ilmu yang bermanfaat barangkali dapat menjadi bekal dekat sana. Lalu kisah ini saya tulis. Agar ia tidak hilang, tidak juga berlalu begitu sahaja.

Saya mahu ingat hari terakhir saya dengan Angah. Bacalah dengan mendalami apa yang tersirat yang ingin saya maksudkan.

Berita Angah tenat telah tersebar pada hari sabtunya. Kuasa Allah, DIA menstabilkan Angah saya sementara, dan pada waktu itu hati kecil sudah berkata, Allah ingin memberikan kami peluang. Dalam pada rasa ingin menafikan, terlintas juga.. barangkali peluang ini untuk yang terakhir. Lalu, Angah saya ziarahi. Dia masih boleh bergurau senda dengan kami adik beradik – sebagaimana yang biasa dilakukan saat sihatnya. Dia periang dan gemar berlawak jenaka. Itu sisi Angah yang mahu saya kenang. Malah gambar terakhir saya dengannya pun memperlihatkan wajahnya yang riang yang cuba disorokkan kesakitannya.

Tiba waktu habis melawat. Saya, suami dan Irfan perlu pulang. Tapi demi Tuhan, hati saya berat. Angah memberi isyarat menyuruh saya balik. Saya faham apa tujuannya berkata demikian. Tapi kaki saya seakan telah terpaku di situ. Dalam bilik ketika itu hanya ada saya dan seorang makcik. Tetapi diluar bilik ada abang dan adik saya yang masih menanti untuk masuk ke dalam. Mana mungkin saya mahu mementingkan diri, andai terlalu lama saya di situ orang lain tidak dapat melawatnya. Ya, menziarahnya mungkin buat kali terakhir.

Saya tahu Allah itu baik. Rancangan DIA untuk saya diatur dengan baik dan cantik sekali. Sebelum saya keluar melangkah, saya pegang kuat-kuat tangan Angah. Sejuk. Saya rasa kakinya. Sejuk. Lalu saya ambil selimut dan menyelimutkannya. Saya gosok-gosok tangannya agar biar ia berhaba sedikit. Agar ada rasa hangat pada tangannya yang sejuk dan pucat. Lama saya buat begitu sebelum saya salam dan kucup tangannya. Dia pegang tangan saya kuat. Saya pegang lebih erat. Kuat, kejap dan erat. Masing-masing tidak mahu melepaskan. Hanya bahasa bisu yang menjadi pengantara di antara kami. Kemudian dengan rasa sedih yang tertahan-tahan saya tanyakan padanya kalau dia mahu saya suapkan jeli yang ada di situ untuk menaikkan paras gulanya. Dia angguk. Saya hanya dapat memberi dia dua suapan kerana selapas itu tiada makanan yang larat hendak ditelannya. Kerana makanan yang masuk semua dikeluarkan. Badannya menolak.

Masanya telah tiba. Sekali lagi kami bersalaman. Sekali lagi tangannya kuat menggenggam tangan saya seperti tak mahu dilepaskan sedang mulutnya berkata-berkata “Baliklah cepat, kesian Zul dan irfan tunggu di bawah. Rumah korang dah lah jauh.” Saya menggenggam tangannya dan jari jemarinya yang sudah tinggal tulang itu erat-erat. Air mata saya tahan agar tidak tumpah di hadapannya. Angah saya memerlukan kekuatan dari insan-insan yang dia sayang, Saya kucup dahinya berkali-kali. Saya bisikkan padanya yang Allah selalu dekat. Saya ucap padanya yang saya sayangkan dia. Jawabnya “Angah tahu.”. Dia senyum. Saya cakap juga yang saya selalu mendoakan dia. Jawabnya lagi “Angah tahu.” Saya lihat matanya sudah berkaca merah. Saya kucup dia sekali lagi sebelum saya melangkah pergi.

Esoknya saya pergi melawat lagi. Tapi sampai-sampai sahaja saya lihat keadaan Angah sudah terlalu tenat. Badannya sudah tidak mampu digerakkan. Matanya masih terbuka, dia sedar tetapi nafasnya berombak-ombak dibantu mesin pernafasan.

Dalam perit, namun syukur segala syukur saya panjatkan pada Ilahi. DIA baik, memberi saya peluang terakhir itu. Dia memberi saya kesempatan untuk berada bersama Angah waktu saat akhirnya walaupun sekejap. Saya sempat mengatakan saya sayang padanya pada hari sebelumnya – buat pertama kali juga yang terakhir. Waktu dia masih boleh mendengar. Sekurang-kurangnya Angah tahu isi hati adiknya.

Begitulah apa yang saya belajar. Tuhan simpan sesuatu pada awalnya untuk memberi yang terbaik pada akhirnya. Tuhan mahu saya bersyukur pada saat yang sama sedang diuji. Saya kira itu kenangan indah saya dengan Angah. Walaupun tidak banyak yang mampu saya lakukan ketika waktu hayatnya, saya mahu menghayati segalanya dari sudut yang positif. Saya mahu pandang walau dalam keadaan macamanapun, Allah itu tetap yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

** Akan saya sambung lagi kisah ini lain hari bila sampai waktu Allah izinkan..

Wallahu'alam.


Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors