Friday, January 15, 2016

Priceless | Kuala Lumpur, Selangor Malaysia Family Photographer

Kalaulah boleh dicerita dengan perkataan, sama sekali tidak mungkin setanding dengan apa yang dirasakan di dalam hati. Saat saya melihat mereka, memerhati setiap gerak geri, merasai setiap kasih sayang yang jelas mengalir dalam diri orang-orang yang ada di hadapan saya. Lantas merakam dan menterjemahkan apa yang saya lihat dan apa yang saya rasa, elok-elok dalam bentuk visual ini. Bukan orang lain, melainkan ibunya sudah saya kenali lebih dua puluh tahun lamanya.

Sudah pasti ketika waktu yang lampau tidak siapapun akan menyangka saya akan berada di sini, merakamkan saat berharga ini, yang mana kami masing-masing sudah pun dikurniakan keluarga sendiri, hidup dihiasi dengan telatah tawa dan tangis anak-anak. Sungguhpun keluarga ini telah saya rakam memori mereka sejak anak sulung masih berada dalam rahim ibu, segala yang berlaku kini seakan-akan terasa masih seperti baru.

Dan siapa pula akan menyangka apa pula yang akan berlaku untuk dua puluh tahun yang akan datang? Mungkin kita sudah bercucu, kalau Tuhan izinkan nyawa kita sampai ke situ.

Sungguh, untuk kenangan-kenangan yang tercipta seperti ini, tiada satu ayat yang dapat saya luah untuk menjelaskan. Hanya hati, hanya jauh dalam hati ini saya dapat merasakan. Dan gambar-gambar ini, untuk berapa puluhan tahun lagi, akan tersimpan sebagai memori, yang dikenang kuat-kuat, dari satu generasi ke satu generasi.

Untuk sebuah nilai persahabatan yang begitu berharga tidak terungkapkan wahai adikku Nur Izlin, terima kasih yang biar sahaja Tuhan membalas segala kebaikan-kebaikan yang dicurahkan dengan menghadiahkan keluarga sebahagia ini buatmu. Anak-anak yang akan sentiasa menghargai pengorbananmu walau sedikitpun tidak pernah engkau pinta mereka membalasnya. Semoga hidup terus dilimpahi kasih sayang yang berpanjangan.



Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors