Tuesday, November 8, 2016

Bali : Sebuah catatan perjalanan ~ Berkelana jam 3 pagi.

Sambungan dari kisah-kisah ini

Day 2; Isnin October 31st, 2016.
Part 1.

Ketika tidur di Bounty Hotel Kuta pada malam pertama kami sampai, saya mengalami masalah insomnia. Sebenarnya ini biasa terjadi pada diri saya apabila perlu bermalam di satu-satu tempat yang baru. Melihat teman di katil sebelah telah pun enak dibuai mimpi, mata saya masih lagi terkebil-kebil tidak boleh lelap. Saya membuka surah yasin yang saya bawa dari rumah dan membaca terjemahannya sampailah mata saya beransur-ansur lelap sekitar jam 1 pagi. Itupun asyik2 saya terjaga.

Sekitar jam 2.45 pagi saya gementar bukan kepalang apabila tiba2 pintu bilik diketuk orang dengan sangat kuat dan mendengar bunyi suara yang bising di luar bilik yang tidak saya faham biji butirnya. Tapi saya mengagak mereka itu adalah para bule yang mabuk yang sudah tidak tahu jalan pulang. Saya terlalu takut hampir menangis. Mujurlah teman saya; Shikin Kamal merupakan perempuan gagah perkasa lagi berani. Dia menjerit kepada orang di luar “wrong room!”. Tetapi lelaki itu tetap mengetuk pintu bilik dengan bahasa yang tidak difahami. Saya sudah rasa mahu terkucil, sementara teman saya lebih bijak, dia menghubungi receptionist melalui telefon hotel dan memaklumkan kepada mereka tentang “kekacauan” itu. Tidak berapa lama kemudian bebelan pelancong yang tidak dikenali itu semakin lama semakin suram dan sudah tidak kedengaran.

Inilah salah satu sebab mengapa kami tidak meletakkan bandar Kuta sebagai salah satu destinasi utama lawatan kami ke Bali ini. Kerana melalui research yang kami buat, bandar Kuta bingit penuh dengan pemabuk yang jaga malam dan tidur siang, tidak begitu sesuai dengan jiwa kami yang motif datang ke Bali inginkan sesuatu yang nyaman dan tenang. Kepada kawan2 perempuan terutamanya yang berhasrat ingin ke Kuta, baiklah menempah bilik hotel yang elok demi keselamatan anda. Apapun itu merupakan satu pengalaman buat kami. Kami belajar tidak semua perjalanan itu akan melalui sesuatu seprti yang dimahu hati, tetapi tetap juga akan menempuh ujian yang tidak disangka. Alhamdulillah syukur kepada Tuhan, kami selamat.

Jam 3 pagi kami terus bersiap-siap untuk ke destinasi seterusnya. Ketika menyorong dan mengendong beg hendak ke lobi hotel, kami melalui kawasan swimming pool, dan melihat masih ramai pelancong para bule yang bermandi manda berparty di dalam kolam mandi berhibur-hibur sesama sendiri. Dalam hati, mereka ni tak tidurkah? Namun,kami pura-pura tidak nampak dan tidak ambil peduli terus menuju ke lobi hotel untuk menemui Sean; seorang Balinese yang menjadi Supir kami pada hari itu. Untuk perjalanan hari itu, kami menempah agensi pelancongan Bali Golden Tour untuk aktiviti seharian hari kedua kami berada di Bali.

Perjalanan kami adalah menuju ke Lovina Beach yang terletak kira-kira 2 jam setengah perjalanan dari Kuta. Sekali lagi saya cemburu melihat teman saya Shikin senang aja melelapkan mata menyambung mimpinya di dalam kereta. Sedang saya hanya menutup mata tetapi susah betul hendak tidur kembali. Beralih ke kiri dan kanan tidak juga mahu lelap. Sedangkan Shikin sudah mahu tertiarap2 di atas seat kereta kerana enaknya tidur bukan kepalang. Dia tidak tahu, temannya ini lagi kerisauan kalau-kalau dia ketiarapan terus di atas lantai kereta.

Untuk perjalanan ke Lovina Beach, kami perlu merempuh jalan bukit yang berpusing-pusing mengalahkan bukit putus Kuala Pilah. Cuba tuan-tuan katakan bagaimana saya bisa tidur apabila kepala saya terhantuk2 di dinding kereta setiap kali ia membuat pusingan. Corner ke kiri corner ke kanan. Ini menambahkan lagi kemusykilan saya terhadap teman saya ini betapa dia begitu menikmati tidurnya apabila tidak langsung terjaga. Saya terpaksa juga tutup2 mata kerana takut untuk melihat keadaan di luar yang permandangannya adalah hutan gelap semata hahhaha. Maka macam-macam doa yang saya baca agar perjalanan kami selamat dipelihara Tuhan.

Lebih kurang jam 5 pagi barulah kelihatan rumah-rumah kampung di pinggir jalan. Lampu-lampu juga sudah bersinar terang. Penduduk kampung pun ada yang sudah memulakan aktiviti mereka seawal pagi itu terutamanya di pasar basah. Jalannya aman dan menenangkan. Suatu permandangan yang menawan hati. Warna jingga dari langit sipi-sipi sudah kelihatan. Saya mengejutkan Shikin agar dia tidak terlepas menikmati permandangan ini.

Jam 6 pagi, tibalah kami di Lovina beach. Di pinggir pantai terlihat deretan bot-bot tradisional yang sangat unik sedang menanti. Mengapakah kami sanggup menempuh perjalanan sejauh ini untuk sampai ke Lovina beach? Apa istimewanya?

Kerana Dolphin! Ya, kami mahu mengejar dolphin bertemankan matahari terbit di ufuk timur.


*Bersambung...

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors