Saturday, December 31, 2016

2016 yang tidak terlupakan



"Prestasi tertinggi seseorang, medal emasnya, adalah jiwa besarnya."

~ Sebelas Patriot;
Andrea Hirata.



Masa lalu. Ramai memanggilnya sebagai kenangan. Ada juga yang mengibaratkannya sebagai sejarah. Apapun yang digelar, pada saya kenangan dan sejarah itu memberi satu maksud yang sama, iaitu : pelajaran. Pelajaran yang diperoleh secara terus melalui universiti kehidupan.

Begitu juga dengan banyak hal yang telah saya lalui sepanjang tahun 2016. Kecil atau besar, manis atau pahit, haru atau biru, semuanya memberi makna dalam hidup saya yang melalui perjalanan yang panjang ini hinggalah nanti sampai masa mata tertutup, nyawa sudah tidak bernafas.

Tidak setiap tahun saya berkesempatan untuk mencoret kembali memori-memori yang telah saya tinggalkan. Atas alasan tidak sempat, banyak kerja, ataupun sememangnya tidak mahu. Tetapi 2016 saya kira antara tahun istimewa yang telah saya lalui, terutama dalam bidang fotografi telah sampai usianya 10 tahun saya bergelumang dalam arena ini. Sudah pasti tak banyak, sedikit, berlapang hati ingin saya kongsikan. Kalaupun bukan untuk orang lain, sekurang-kurangnya untuk diri saya membaca kembali jejak-jejak yang telah saya tinggalkan, bila waktunya saya perlu menoleh ke belakang. Jalan mesti terus. Tengok apa yang ada di hadapan. Tetapi pengalaman masa lalu tidak akan pernah gagal memainkan peranannya untuk menjadi guru terbaik.

Baiklah, ini 'recap' saya untuk tahun 2016 ini yang banyak saya lalui dengan kematangan, yang datangnya tidak lain adalah dari Tuhan. Alhamdulillah. Maaf sekiranya anda membaca ini seolah-oleh membaca novel 300 mukasurat.

Kalendar 2016 saya dibuka dengan kesibukan silih berganti oleh sesi photoshoot client, dan persediaan awal saya menyiapkan diri untuk pameran fotografi solo saya  yang pertama. Ia menjadi lebih manis apabila kisah tentang saya dipaparkan dalam majalah Inspirac; sebuah majalah online inspirasi wanita. Kisah saya itu telah dikongsikan dalam edisi pertama majalah tersebut. Pembukaan yang manis di bulan Januari itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk melalui bulan-bulan seterusnya pada tahun ini. Tahun di mana saya anggap sebagai tahun tersibuk saya sepanjang kerjaya. Terima kasih buat Nurlina Hussin dan suami; founder majalah Inspirac yang membuka ruang untuk saya. Mereka berdua orang-orang yang hebat. Saya belajar bagaimana memajukan diri dengan berjumpa dengan ramai orang yang berkecimpung dalam pelbagai bidang. Untuk bulan yang pertama ini moral yang saya dapat; hidup jangan seperti katak di bawah tempurung. Dunia Allah ini luas. Dia telah sediakan banyak pelajaran melalui manusia-manusia yang kita jumpa. Belajar tentang kearifan orang lain yang nantinya akan menambahkan ilmu di dada.

Dalam kesibukan berurusan dengan pihak Nikon Malaysia dan MPH untuk projek saya yang seterusnya, pada bulan March saya dikejutkan dengan tawaran yang saya anggap 100% adalah datang dari rezeki Tuhan yang tak disangka-sangka. Suatu waktu dahulu saya pernah mem-fantasikannya, tetapi tidak pernah terlintas ianya bakal menjadi realiti.

Saya dihubungi oleh penerbit rancangan Majalah 3 yang berminat ingin mewawancara saya untuk salah satu segmen dalam rancangan tersebut. Saya pernah ke udara dalam rancangan Safiya dan SIS kelolaan TV9 sebelum ini. Tetapi tidak pernah saya membayangkan muka yang banyak jerawat ini akan terpapar di kaca tv untuk rancangan Majalah 3.

Majalah 3? Buntang-buntang dan juling-juling mata saya mengenangkan. Sesungguhnya hidup ini memang penuh dengan kejutan. Maka datanglah angin senggugut saya awalnya dan mulalah bergelodak rasa tidak layak dimasukkan dalam rancangan yang berprestij itu, walau hati sudah digaru-garu ingin mengatakan ya. Tidak dapat diterangkan secara terperinci bagaimana saya menahan diameter pengembangan lubang hidung ini pada ketika itu. Apakah glamour atau popular yang saya cari? Tidak sama sekali. Tetapi tidaklah saya mahu hipokrit dengan menafikan perasaan saya yang teruja dengan tawaran sedemikian rupa. Oh.. sekurang-kurangnya saya tahu kerja ambil gambar budak-budak ini juga turut dihargai segenap masyarakat. Sejak mendapat panggilan telefon tersebut, setiap kali melihat tulisan merah biru kuning TV3 di kaca tv bisa membuat bulu romaku meriding. Tengkukku seram-seram sejuk. Mulalah saya mengukur-ukur badan. Oh mana mungkin aku boleh menjadi kurus dalam masa kurang sebulan? Hakikat mesti diterima.

Setelah diwawancara sebanyak 2 kali pada 2 hari yang berbeza, hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Tidak ada orang yang tahu bahawa pada pukul 9 malam Isnin 14 March, yang saya mahu lakukan waktu itu adalah menyelinap ke dalam selimut, menutup mata lantas tidur, sambil mengigau bercakap-cakap. Saya tidak mahu melihat wajah saya di kaca TV. Suami dan anak tidak kurang gugupnya. Mereka mundar mandir di depan tv, turun naik tangga, ke atas ke bawah, manakala anak saya hanya membisu seribu bahasa. Saya kira mereka sedang menahan debaran dada yang sedang meluwap-luwap.

Segmen 13 minit itu saya saksikan dengan mata berkaca. Dalam hati, cantiknya hidup saya yang telah Tuhan aturkan. 10 tahun dahulu berhenti kerja kerana ada rasa sedikit berani untuk menjadi jurugambar sepenuh masa. Tidak pernah nak harapkan balasan apalagi pengiktirafan. Tiba-tiba Tuhan memberikan hadiah yang cukup manis. Bukan secepat setahun dua. Tetapi dia memberi pada waktu yang sangat tepat. Manakan mungkin terawal atau terlambat. Syukur teramat syukur.

Sebaik sahaja selesai rancangan dipaparkan, telefon berdering-dering, message mula bertubi-tubi masuk, dan orang pertama yang menelefon saya ialah ayah saya sendiri. Begitulah Babah. Mengucapkan tahniah, dia sering sahaja membesar-besarkan hatiku dengan puji-pujiannya. Aku tahu, ibuku yang di sisi babah pun turut gembira. Cuma kegembiraan dan rasa bahagianya sering sahaja tidak pandai dia meluahkan dengan kata-kata. Atas doa-doa keramat mereka untuk saya dan adik beradik, maka kami dapat merasai nikmat bahagian masing-masing. Anak dan suami kupeluk erat-erat. Sebagai tanda yang manis ini adalah untuk kita bertiga. Di media sosial, ucapan tahniah berderet-deret. Membuat saya bersyukur dikelilingi kawan-kawan yang baik. Ada yang tidak pernah saya kenal, tetapi sangat menghargai. Tuhan, untuk 10 tahun yang aku lalui ini yang kadang-kadang senang ajer elok perjalanannya, dan tidak kurang juga ada waktu yang sangat pedih dan mengharukan, rupa-rupanya tidak ada satu pun yang sia-sia. Atas nikmat kesabaran yang telah Engkau selitkan dalam hati ini, waktu itu telah aku rasa keberuntungannya.

Dahulu, semasa berkira-kira hendak menerima tawaran MPH Publishing untuk menerbitkan buku fotografi saya yang pertama, dalam keadaan yang sangat kurang yakin, suami saya menggalakkan juga untuk saya menerima apa jua kesempatan atau peluang yang datang dalam hidup. Malah dia sebenarnya memaksa-maksa sambil mengugut dengan perkataan "kalau tak mahu accept peluang ni, tak taulah nak cakap apa. Duduklah situ dalam bilik itu. Menyoroklah sampai bila-bila". Kata-kata nya itu buat darah serikandi Siti Zubaidah ini tercabar-cabar. Jangan kau bilang aku tak berani!

Biar dalam keadaan kita tidak bersedia. Biarpun waktu itu kita gugup. Jangan takut sebab waktu kita belajar adalah seiring dengan masa kita mengusahakan segala sesuatu. Kalau tak tahu, buat. Maka kita akan lebih mengetahui. Kalau silap, belajar. Maka kita akan jadi orang yang lebih bijak dari sebelumnya. Kalau penat, rehat. Maka setiap hari kita akan mulakan dengan semangat yang baru. Dan kalau malas, maka kau tanggunglah sendiri! Kata suami saya; dengan kesempatan pertama yang hadir, percayalah, ia akan membuka kepada peluang-peluang lain yang lebih besar. Siapa sangka apa yang dikatakannya itu benar. Peluang itu benar. Kesempatan itu benar. Pameran solo itu benar. Nikon Malaysia itu juga benar!

Melalui buku sulung saya itulah sebenarnya yang membuka jalan untuk saya berpameran di Nikon. Saya diperkenalkan kepada pihak Nikon oleh pihak MPH Publishing yang budiman terutama sekali Lilian Ng dari bahagian pemasaran MPH yang berhempas pulas merencanakan sejarah ini untuk saya (walaupun ianya tidak akan tercatat dalam mana-mana buku teks sejarah di sekolah mana-manapun). Perbincangan dibuat. Perancangan diatur. Persetujuan akhirnya menjadi muafakat. Akhirnya "Celebrate Childhood - Zubye Rusli Solo Photography Exhibition" bukanlah lagi satu mimpi. Ia telah menjadi kenyataan. Betul-betul dihadapkan gedebuk di hadapan mata. Kalau boleh diberikan satu nama, ia adalah bermula dari cabaran-cabaran, sokongan-sokongan, ugut-ugutan, jegil-jegilan, semangat-semangat oleh seorang lelaki yang saya panggil suami. Sungguhpun begitu, yang merancang semua ini tidak lain adalah Allah yang telah memaktubkan segalanya di dalam buku hidup saya nun di luh mahfuz. Syukur saya teramat syukur.

Ironinya, saya pernah berangan-angan tentang ini. Tentang hasil kerja saya dipaparkan di satu galeri. Tentang orang yang akan datang menyaksi-nyaksikan. Malah saya juga sebenarnya pernah berangan menjadi maskot Nikon. Eh duta Nikon. Sampai ke situ impiannya. Yang pasti, saya tak takut... saya akan meneruskan cita-cita murni untuk berangan-angan satu hari nanti pihak Nikon dengan ikhlas hati akan memberikan saya lensa percuma bagi setiap model. Atau mungkin lebih nikmat lagi jika saya akan diberikan keahlian istimewa untuk membeli setiap barang-barang fotografi Nikon secara zero payment selama 10 tahun. Iya, hidup ini kadang-kadang penuh dengan cita-cita unggul.

Pada hari pelancaran pameran solo saya tersebut, saya memilih ibu dan ayah saya sendiri untuk merasmikannya. Salah seorang wartawan yang datang bertanyakan kepada saya sambil dahinya yang berkerut-kerut dengan muka seperti tidak berpuas hati.. "Kenapa suruh ibu dan ayah yang rasmikan? Kenapa tak panggil2 orang yang expert dalam bidang ni untuk rasmikan event ini?" Saya agak berkecil hati pada awalnya ketika dia mengajukan pertanyaan tersebut. Tetapi bila saya lihat sekeliling, eh! orang yang sudah membuat pameran solo macam ni mana boleh punya hati yang kecil, cepat terasa dengan kata-kata orang lain? Maka dengan tegas sambil tersenyum lantas menahan dari emosi drama air mata, saya menjawab "Ibu dan ayah sayalah orang yang paling bertanggungjawab dan ada dengan saya sejak dari zaman saya kanak-kanak lagi. Sesuai dengan Pameran ini pun bertajuk Celebrate Childhood. Merekalah orang yang paling layak untuk merasmikan majlis yang sangat istimewa untuk saya ini. Sebab mereka istimewa. Bukan orang lain. Bukan menteri. Bukan orang kenamaan. Bukan artis. Tapi mereka."

Wartawan itu lantas diam hanya mengangguk-aguk. Saya bersangka baik bahawa anggukan itu tanda setuju. Dan pada malam itu, acara pelancaran pameran tersebut telah dimuatkan dalam berita di BERNAMA tv. Rupa-rupanya, tanpa saya sedari berita ini juga telah ditulis dalam BERNAMA news dan BERNAMA.com di bawah seksyen 'local news' pada keesokan harinya.

Surat khabar The Star juga telah menulis dengan cukup baik artikel berkenaan dengan pameran fotografi tersebut, di kedua-dua bahagian online dan juga cetakan. Maka dengan tersengih-sengih saya meminta bantuan seorang rakan memotong keratan akhbar tersebut yang kebetulan ada di pejabatnya. "The Star". Oh berbintang-bintang hati kurasakan saat itu.

10 April 2016 itu sebenarnya tercatat 2 peristiwa. Tarikh itu tidak akan saya lupakan selagi hidup. Dalam kegembiraan sedang meraikan majlis perlancaran pameran fotografi saya yang julung-julung kalinya, saya menerima berita yang merobek-robek hati sebaik sahaja selesai memberi talk photography di Nikon pada petang hari. Seboleh mungkin saya menahan air mata untuk tidak keluar. Saya bersalam-salaman dengan semua yang hadir, tetapi fikiran saya sudah tidak di situ lagi. Badan saya menjadi sejuk-sesejuk sejuknya. Tangan saya menggeletar, jiwa saya habis rasa luluh dan urat-urat rasanya sangat sakit kerana tidak boleh dilepaskan rasa itu, di waktu masih lagi ramai orang di situ. Apabila semuanya telah pulang, tinggallah beberapa orang sahaja lagi rakan-rakan yang setia menanti di ruang legar galeri. Saya sudah tidak mampu bertahan. Lalu terhambur terus air mata saya waktu itu juga dengan teresak-esak melepaskan segala yang perit dalam hati. Ayah saudara saya; yang sangat banyak berjasa kepada saya dan adik beradik yang lain, yang saya sanjung sifatnya yang sangat penuh kasih dan sayang, yang saya letakkan tinggi kedudukannya dalam hati saya telah meninggalkan saya dan ahli keluarga lain buat selama-lamanya. Galeri Nikon itu terus saya rasakan kosong. Sepi.

Pemergian itu terlalu tiba-tiba. Sehari selepas allahyarham pulang dari umrah. Tidak pernah saya bersedia untuk satu keberangkatan abadi. Mengenangkan yang saya tidak mungkin lagi dapat menyalami tangannya, bergurau senda dengannya, mendengar dia memanggil saya dengan nama penuh 'Siti Zubaidah' , merasa senang dengan senyum ikhlasnya, yang dapat saya pastikan, itulah salah satu episod duka yang berlaku dalam hidup saya pada tahun ini. Dua minggu saya berkurung di dalam rumah. Saya tidak membuka komputer, hendak upload gambar-gambar semasa pelancaran pameran pun tidak ada datang semangat. Dua minggu setiap malam waktu semua orang telah tidur, saya terhenjut-henjut menahan tangis. Hilang sekejap kemahuan ingin melakukan apa-apa. Mungkin kerana terlalu cepat. Mungkin kerana tak pernah bersedia. Mungkin kerana ada sesalan atas sesuatu yang tak sempat dilafazkan. Perlahan-lahan saya cuba redha dengan takdir dan bermuhasabah sendiri saya bahawa ini semua sementara. Apa yang saya perolehi selama ini juga sementara. Tiada apa yang kekal. Dalam kesedihan, saya tetap bersyukur Tuhan dengan baik telah mengingatkan saya tentang itu.

Bulan-bulan seterusnya selepas itu saya lalui seperti biasa adanya. Setiap manusia akan pergi. Tetapi kebaikan manusia itulah yang tinggal yang akan dibuat sebagai kenangan dan pelajaran. Esok lusa, bila saat kita sendiri yang akan pergi, apakah yang akan ditinggalkan?

Bukankah itu satu pelajaran untuk kita yang hidup? Yang bila datang waktu gembira, jangan terlalu ghairah kerana itu tidak kekal. Dan bila terpaksa menempuh hal-hal yang sedih lagi mengharukan, janganlah juga terlalu kecewa dan bersedih, kerana itu juga sementara.

Benar seperti yang diyakini oleh suami saya, selepas-selepas itu datang lagi beberapa kesempatan-kesempatan yang menaikkan semangat. Dalam usaha hendak mempromosi buku saya; Sekeping Gambar Seindah Memori, pihak MPH publishing sekali lagi menjalankan kerjasama kali ini dengan Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun KL untuk menjemput saya memberi 'photography talk' kepada para ibu bapa yang ada minat hendak mengambil gambar anak-anak mereka. Sebenarnya saya ini ada darah gemuruh setiap kali perlu berhadapan dengan ramai orang, apalagi bila disuruh untuk memberi ucapan. Kalau suruh menyanyi, mungkin masih boleh saya pertimbangkan. Yang paling saya geruni ialah kalau-kalau ada orang yang ingin bertanya tentang sesuatu yang sebenarnya saya sendiri tidak mafhum. Saya bimbang akan terserlah ketidakbijaksanaan akal saya di hadapan orang ramai kalau saya tidak dapat menjawab.

Tetapi hari itu alhamdulillah, dengan santai dan berlawak jenaka, dapat juga saya habiskan talk yang saya rasa agak bermanfaat itu. Semua orang gembira. Semua orang ketawa, walaupun saya bukanlah seorang pelawak pentas. Diam-diam saya memasang keinginan untuk bercakap lagi di hadapan orang ramai. Saya tahu dan yakin, dengan hanya menjadi diri sendiri sahaja semuanya akan berjalan lancar. Sesuatu yang kita tahu, bolehlah kita kongsikan. Tetapi sebaliknya kalau ada yang tidak tahu, mengaku sahajalah tidak dan berusaha mencari jawapannya selepas itu. Jangan risau, takde markah pun diberikan oleh penonton melainkan anda menyertai pertandingan realiti tv.  Just do it and be yourself!

Terkejut, saya diberitahu oleh seorang teman bahawa terdapat article tentang saya dan gambar-gambar yang saya ambil tertulis di Majalah Aperture untuk isu bulan May 2016. Syukur alhamdulillah. Dan buku saya; Sekeping Gambar Seindah Memori pula telah di'feature' dalam majalah Mamapapa dalam ruangan 'Buku Bulan Ini'. Keduanya adalah kejutan. Surprise!! Surprise!! Saya tahu tidak lain tidak bukan, ini semua adalah hasil usaha senyap-senyap pihak MPH Publishing dengan penerbit kedua-dua majalah tersebut demi mempromosi buku tersebut. Sememangnya, dunia ini masih lagi wujud orang-orang yang baik yang membuat sesuatu tanpa minta balasan. Malah seribu kali lebih bagus andai diri kita sendiri tergolong dalam golongan orang-orang tersebut. Tepuk dada, bisikkan dekat hati.

Tidak lama kemudian saya menerima pula pelawaan dari pihak penganjur KLPF 2016 untuk menyampaikan satu lagi photography talk berkenaan dengan fotografi kanak-kanak. Tetapi perlu diakui dengan rendah hatinya, kali ini kegugupan saya begitu berkemuncak sekali. Takut yang bukan kepalang. Saya rasa saya perlu juga mendaftarkan diri di mana-mana kursus yang menyediakan pelajaran khas "bercakap depan orang ramai dengan yakin lagi ber setail." Saya hampir-hampir menolak jemputan tersebut atas alasan takut pitam ketika memberi ucapan. Tetapi setelah diugut-ugut sekali lagi oleh suami saya, saya terima juga walaupun 50% saya rasa boleh. Lagi 50% akan saya persalahkan suami saya sekiranya ada hal yang tak diingini berlaku.

Begitulah kawan-kawan, jangan pelik, dalam dunia ini memang terdapat orang-orang yang suka menyalahkan orang lain atas kekurangan diri sendiri. Tetapi, cepat-cepatlah sedar bahawa perangai itu sungguh jelek sekali, dan belajarlah bertanggungjawab untuk menerima apa jua risiko yang bakal berlaku pada diri sendiri. Barulah wira! Dan moral yang perlu juga kita ketahui di sini, untuk mencapai sesuatu matlamat, ugutan dari orang yang dekat dengan kita itu adalah perlu!

Saya diberi masa hanya beberapa minit sahaja untuk slot saya di KLPF itu. Sehari sebelumnya, berapi-api saya membuat latihan di depan laptop, sambil tangan didepa-depakan agar kelihatan lebih meyakinkan. Telah dicongak-congak masa, meski tercungap-cungap hendak menghabiskan segala slide, saya yakin boleh melakukan dengan baik. Saya kira KLPF merupakan satu acara fotografi yang agak besar di Malaysia, lalu saya haruslah tampil dengan susuk yang berwibawa.

Bila sampai harinya, lain yang berlaku. Oleh kerana gugup dan takut tak cukup masa, talk yang saya berikan jadi terlalu laju, dan tiba-tiba saja berakhir. Eh kok cepat bener? Saya bertanya pada diri sendiri. Tetapi saya sudah lakukan yang terbaik.. cuma kadar kelajuan berucap sahaja saya rasa macam keretapi laju yang tak mahu berhenti di mana-mana stesen. Pun begitu, saya rasa puas juga dengan kemampuan saya, kerana dalam kegugupan dan ketakutan, saya berani menerima cabaran setelah diugut, menghadapi risiko, dan bila tiba waktunya, saya memberikan semuanya seikhlas hati. Selebihnya adalah pengalaman dan bertambahlah lagi pelajaran. Mudah-mudahan yang mendengar, bila pulang nanti akan dapat sesuatu. Hari itu saya diberi satu lagi pengetahuan : Faith makes all things possible!

Setakat apa yang telah para pembaca budiman hadamkan penulisan saya tentang masa-masa lalu 2016 ini, barangkali ada yang terlintas di benak : betapa manis perjalanan hidupnya, sungguh senang nampaknya dia mengecapi itu dan ini, agak banyak kejut kejutan indah dia perolehi , sungguh cepat peluang satu persatu hadir. Indah hidupnya. Senang perjalanannya. Apa dia tak pernah kecewa? Apa hidupnya gembira-gembira sahaja?

Bukan saya mahu mengecilkan hati kalian yang mungkin ada beranggapan demikian. Tetapi percayalah, di sebalik cerita-cerita yang mungkin sebahagian kita menganggapnya sebagai kejayaan itu, terdapat ujian-ujian yang tidak terucapkan untuk tontonan mata umum. Saya melihat sekeliling saya ramai yang masih diuji dengan kepayahan yang tanpa ampun begitu sulitnya, tetapi mereka boleh lagi tersenyum dengan tabah mengharungi hidup. Saya melihat manusia-manusia yang tidak bernasib baik, tetapi tidak ada keluhan terlintas dari bibir mereka.

Maka, dengan suasana yang penuh menginsafkan itu, saya jadi termalu-malu sendiri untuk memberitahu dunia akan kepayahan-kepayahan sedikit yang Tuhan pernah uji dalam hidup saya, apalagi mengeluh-ngeluh semacam orang yang tidak tahu mengenang untung. Maka, segala kesedihan dan keperitan selama mana saya melakukan kerja ini, cukuplah hanya saya dan Tuhan yang tahu. Oh ya! Sang pengugut utama saya iaitu suami juga berhak tahu akan hal sedemikian itu. Kerana hanya di bahunya lah saya menangis, sampai dia sudah tidak mahu lagi me'landing'kan bahunya kerana khuatir akan hingus-hingus saya yang akan meleleh dibajunya tidak mahu surut.

Ah- terlalu segan saya untuk berkeluh kesah, sedang yang di luar sana lebih berat dugaannya. Lalu saya hanya berdiam.

Tetapi perkara yang satu ini, saya akan bercerita kerana saya rasa ianya begitu signifikan sekali. Mungkin tuan-tuan yang bijaksana dapat mengambil kesimpulan yang elok di penghujung cerita ini nanti. Tentang satu impian besar saya yang gagal dicapai meski pintunya sudah terbuka luas di depan mata. Tinggal mahu beri salam dan masuk sahaja lalu bersenang-senang di atas sofa.

Begini.

Seminggu sebelum talk di KLPF itu berlangsung, sekali lagi saya menerima satu pelawaan melalui sebuah email. Ianya datang dari seorang pengurus pemasaran untuk satu syarikat stock-image terkemuka dunia yang beribu pejabat di nun Amerika sana. Beliau menyatakan hasrat minatnya terhadap karya-karya saya yang pada taksirannya sesuai untuk di ketengahkan dalam syarikat tersebut. Beliau mengenali saya apabila melihat nama saya sebagai salah seorang speaker untuk salah satu acara di KLPF. Lalu beliau pun melihat portfolio karya-karya saya yang terpapar di website EOG.

Syarikat stock-image ini agak berbeza dari yang lain kerana cara pemilihan untuk 'artist' yang menjadi 'contributor' untuk syarikat itu adalah ketat. Ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Setiap karya perlu disaring bagi melayakkan seseorang menjadi 'artist' kepada syarikat tersebut. Ini bermaksud bukan mudah untuk menjadi salah seorang daripada "artist" yang ada di situ yang berbakat, datangnya dari setiap pelusuk dunia.

Asalnya, saya seperti bermimpi, bahawa percayalah kawan-kawan apa yang akan saya katakan ini bukan satu dongengan apalagi sinetron.  Dengan tulus ikhlasnya saya mengakui pernah berimpian untuk tersenarai sebagai salah seorang contributor untuk syarikat tersebut. Jadi kalian sudah mendapat bayangan yang saya terlalu berharap akan impian ini tercapai. Bayangan-bayangan karya-karya saya akan terpapar setanding dengan ahli-ahli seni yang berbakat sudah semakin melayang-layang di kepala. Moral dari kisah ini : Berimpianlah setinggi apapun. Jangan pengecut.

Temujanji pun dibuat untuk berbincang akan hal tersebut dengan pengurus itu. Pintu sudah terbuka.

Selepas saya habis talk di KLPF itu, kami pun berjumpa. Rupa-rupanya, beliau tidak mempunyai kuasa penuh untuk memilih para artist/contributor, sebaliknya tugas beliau ialah mencari bakat-bakat yang beliau rasakan layak untuk diketengahkan. Beliau menunjukkan saya cara untuk memohon. Tetapi 100% pemilihan adalah datang dari panel juri yang beribu pejabat di Amerika Syarikat itu. Beliau hanya mempunyai kuasa untuk mengetengahkan nama saya supaya hasil karya saya lebih awal disaring, kerana setiap hari terdapat beratus permohonan.

Saya mengikut setiap step yang ditunjukkan, dan tanpa berfikir lagi, saya terus menghantar permohonan tersebut.

Kira-kira hanya seminggu selepas itu, saya mendapat jawapan dari ibu pejabat tentang status permohonan saya yang tertulis begini :

"We have completed the evaluation of your portfolio and while your work is very creative,  your images do not match what our customers are looking for. "

Sungguh penolakan yang bersopan santun bunyinya. Tetapi yang 'dibaca' oleh fikiran luar sedar saya ketika itu ialah - saya tidak layak. Itu adalah kehampaan yang perlu saya lalui  dengan perlakuan yang bersopan santun juga. Adakah saya sedih? Ya. Adakah saya kecewa? Pasti ya. Adakah saya putus harap? Tidak.

Perasaan hampa itu memang terkesan di hati. Dalam bersemangat dan sudahpun berangan-angan, sebaliknya saya perlu berdepan dengan penolakan. Rejection. Saya tidak diterima. Jikalau saya masih berada di tahap awal kerjaya ini yakni 10 tahun yang lampau, kemungkinan besar saya akan melalui proses kesentapan yang berpanjangan. Tetapi mujurlah, pengalaman banyak mematangkan saya, lalu kejadian itu saya terima sebagai satu lagi warna warni hidup.

Tidak dinafikan, apabila diiktiraf kerja-kerja kita, ia akan menaikkan semangat. Namun, kita tidak boleh terus membiarkan diri hanyut dengan pujian-pujian yang berlambak semata. Ada waktu kita perlu mempersiapkan diri Kadangkala, penolakan mahupun kritikan akan membuat kita lebih merendah diri, tidak sombong dan meninggi diri, sebaliknya tetap terus usaha tanpa berhenti sejengkalpun.

Pelajaran ke 340 yang saya dapatkan : Over confident itu tidak sesuai dipraktikkan demi menjamin kesihatan umum dan kesejahteraan jangkamasa panjang. Ia hanya akan menjunamkan anda ke dalam satu lembah. Tapi jangan khuatir dan menyorok terlalu lama di bawah itu. Sudah habis kecewa (dengan syarat tidak boleh lebih dari 1 hari), bangkitlah dan terbang semula.

Sekiranya anda sudah membaca hingga ke baris ini, sesungguhnya anda adalah pembaca yang sangat saya banggakan. Jika merasa penat, tidak mengapa. Lunjurkan kaki. Regangkan urat. Bancuhlah kopi.

Mengapa begitu panjang sekali? Kerana saya tak tahu bila masa nafas saya akan berakhir. Jadi selagi saya merasakan ianya baik dan perkara ini memberikan gembira kepada saya, saya hanya teruskan.

Setiap tahun, membuat projek fotografi peribadi saya letakkan sebagai salah satu perkara penting dalam kehidupan keseniaan dan kebudayaan fotografi bagi diri saya. Saya berpendapat telus bahawa setiap fotografer mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu projek fotografi sendiri pada setiap tahun.

Betapa ramai pun manusia yang kita rakam, atau assignment photography lain yang kita buat, sulit untuk menerangkan dengan perkataan bahawa projek fotografi personal tetap memberikan kepuasaan yang tiada tolok bandingnya. Kerana apabila kita membuat kerja untuk diri sendiri, tanpa memikirkan apa-apa "expectation" daripada orang lain, tahap keikhlasan itu akan meloncat terus. Apa yang terhasil adalah datang dari daerah suci dalam hati kita yang paling seni. Dari situlah segala inspirasi akan hadir, skill akan jadi semakin mantap, karya-karya menjadi semakin tidak membosankan, kreativiti semakin berebut-rebut hendak mendapat nombor satu.

Untuk tahun ini, saya berjaya melakukan tiga projek fotografi peribadi iaitu merakam gambar-gambar anak dan keluarga saya untuk projek 30 Hari di Bulan Ramadhan,  A Day in The Life dan dua kali projek 30 Minutes in The Life. Selain itu, saya tetap meneruskan merakam gambar harian anak saya di rumah, kali ini dengan lebih berani mengeksperimentasi cahaya di sekeliling untuk di manipulasi. Kepuasan dan nilai setiap daripada itu? Priceless!

Sepanjang tahun ini, antara ilmu penting yang saya pelajari adalah manusia itu berbolak-balik hatinya. Dalam hidup ini, ramai manusia datang menyinggah menyerikan hidup kita, memainkan banyak peranan dalam diari kehidupan sehari-hari. Setiap seorang yang hadir dalam hidup kita itu bukan lah saja-saja Tuhan beri melainkan untuk memberi pelajaran yang langsung tidak ada yang sia-sia.

Ada yang tinggal menetap lama dalam cerita hidup kita. Ada yang kekal menyayangi tanpa syarat. Ada yang sanggup terima sebusuk apapun. Alhamdulillah. Namun tidak kurang, ada yang pergi berlalu seperti angin. Ada yang angkat kaki bila sudah tidak lagi sehala. Ada yang mungkin tak tersengaja terlupa janji-janji saat sama-sama bersuka ria. Juga alhamdulillah. Sebab kelak akan kau nampak segala hikmahnya.

Untuk mereka yang memilih pergi meninggalkan kita, relakan. Jangan dikesalkan. Bukan kerana mereka itu orang yang jahat. Tetapi telah tertulis takdirnya kisah kita dengan mereka sudah sampai ke garisan penamat. Kerana sudah selesai peranan mereka dalam cerita hidup kita. Noktah. Tamat. The end.

Yang pasti, andai kalian telah mencuba, kalian bukanlah orang-orang yang rugi. Ingatlah janji Allah itu, kesabaran akan membawa kepada banyak keberuntungan. Selebihnya, yakin biar Allah yang tentukan. Fokuslah perhatian kita kepada mereka-mereka yang lebih menyayangi dan menghargai.

Itulah resepi kebahagiaan hati. Agar tidak kalah hati kita diselaputi marah, dendam dan kesumat. Boleh juga diamalkan supaya wajah akan sentiasa seperti awet muda. hahaha!

Sudah sampaipun ke penghujung coret-coretan kenangan buat saya pada tahun 2016 ini. Tahun yang sememangnya banyak memberi erti yang tersendiri dalam kalendar hidup saya.

Kalau boleh saya simpulkan semuanya dalam satu rangkap, inilah ia:

Ketakutan itu datang dari rasa ketidakyakinan. Maka keyakinan itulah yang saya pasakkan kuat dalam jiwa. Saya benar-benar yakin dengan takdir Allah kepada setiap rezeki manusia. Yang setinggi-tinggi tawakkal itu perlu untuk saya menjalani hari dengan tenang.  Saya yakin teramat yakin; rezeki  yang ditulis untuk saya tidak akan tiba-tiba tersesat masuk ke dalam mulut orang lain. Dan apa yang ditakdirkan menjadi rezeki orang lain, tidak akan sesekali tersalah alamat masuk ke dalam rumah saya. Tidak ada apa yang dapat menggoyahkan kepercayaan saya yang kuat tentang hal itu. Maka kesudahannya, segala-gala apapun yang berlaku dalam hidup ini saya terima dengan lapang hati dan rasa syukur. Kerana saya tahu itulah takdir Allah yang paling baik.

Tidak cukup rasanya dengan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada setiap satu jiwa yang berperanan memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi kepada saya selama ini. Saya yakin doa untuk orang lain itu akan diaminkan malaikat untuk diri kita juga. Untuk ahli keluarga, adik beradik, ipar dan duai, sanak saudara, sahabat handai, para pelanggan yang baik hati, guru-guru yang membimbing dan kepada kesemuanya sekali yang membaca coretan ini, terima kasih untuk segala kebaikan yang tidak terbalas. Dan Muhammad Zaki Irfan, keranamu Ibu memulakan semua ini. Keranamu juga maka ibu akan teruskan. Inspirasi yang tidak pernah akan lenyap adalah kamu.

Kerana Allah itu tahu apa yang baik untuk hamba-hambanya. DIA sentiasa tahu.

Terima kasih 2016 yang tidak terlupakan!















Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors