Thursday, December 1, 2016

Bali : Sebuah catatan perjalanan ~ Gitgit Waterfall (nasib baik tidak digigit anjing)

Sambungan dari kisah-kisah ini.

Day 2; Isnin October 31st, 2016.
Part 3.

Pakej yang kami ambil dengan Bali Golden Tour ini, selain ke Lovina Beach, termasuk juga lawatan ke dua tempat lain iaitu Gitgit Waterfall dan Ulun Danu Beratan Temple dan juga satu pakej makan tengahari. Dan termasuk perjalanan ke Ubud. Untuk kesemua pakej ini, kami membayar IDR 595,000 seorang. Kalau ada yang berminat, boleh hubungi mereka di www.baligoldentour.com untuk tempahan (saya tidak dibayar untuk iklan ini).

Perjalanan ke Gigit waterfall mengambil masa setengah jam dari Lovina Beach. Untuk ke sana, ianya menggunakan jalan yang sehala untuk menuju Ubud. Setelah puas melihat dolphin, kami masuk ke dalam kereta dalam keadaan lapar sekali. Terus membuka sambal bilis yang di bawa dari KL dan mencicahnya dengan roti kosong. Minum dengan mineral water sahaja kerana ingin menjaga kesihatan. Hahahhaha. Perut sudah diisi. Hati makin gembira. Ternanti2 apa pula yang sedang menunggu kami di Gitgit Waterfall itu.

Kami sampai lebih kurang jam 8.30 pagi di Gitgit Waterfall. Masih awal dan sunyi lagi tempatnya kerana kedai2 pun belum bukak apatah lagi pelawat lain, langsung tidak ada. Tetapi berbekalkan semangat ingin tahu dan kegigihan, kami teruskan juga. Sean membawa kami hanya di pintu masuk. Selebihnya kami kena berjalan sendiri untuk sampai ke kawasan air terjun. Ia mengambil masa selama lebih kurang 20 minit untuk berjalan kaki.

Sunyi. Hanya bunyi deruan air terjun sahaja yang terdengar sayup2.

Kami dengan girangnya bergelak ketawa berborak2 begitu terkinja2 hendak melihat air terjun yang kata orang sangat cantik itu. Saya pula sibuk mengesyorkan pose2 sesuai untuk Shikin yang boleh dibikin di sana nanti.

Sudah sampai setengah perjalanan.

Tiba-tiba......

Shikin dengan tanpa usul periksanya meluru berpatah balik tidak mahu meneruskan perjalanan. Wajahnya yang bersinar-sinar sebelum ini tiba-tiba berubah pucat umpama orang nampak hantu. Di mana sifat kepahlawannya? Pikir saya dalam hati. Dia tarik tangan saya untuk pulang dan patah balik ke kereta. Saya tanya kenapa? Dia menunjukkan ada 4 ekor anjing menghalang jalan kami di depan. Apabila menyaksikan Daeng Shikin berada dalam keadaan menggelabah begitu, tiba2 saya pula berubah tidak semena2 bertukar menjadi pahlawan. Tun Zubye tarik tangannya pergi ke salah sebuah rumah di situ dan minta tolong dengan salah seorang penduduk yang menetap di kawasan itu. “Ada anjing ya Pak. Bisa teman kami?” “Oh.. nggak apa2.. anjing itu nggak mengganggu”. Walaupun dia berkata begitu, Shikin memaksa juga bapak itu meneman kami. Saya mengucapkan terima kasih berkali-kali.

Selamat sebentar. Perjalanan di teruskan.

Tidak sampai 5 minit selepas itu, Shikin pucat kembali. Keberanian saya pula makin menyerlah. Tadi saya lihat bagaimana Bapak itu menghalau anjing2 dengan cara menghentak kaki sambil buat bunyi syyuhh! Syuhh!! Maka saya tahu anjing itu bukan anjing liar dan mereka tidak menggigit. Saya kira itu anjing peliharaan. Kita boleh menghalaunya dengan cara yang sama seperti bapak tadi. Lalu saya pun membuat aksi yang sama terhadap anjing-anjing tersebut. Menghentak2 kaki dan membuat bunyi Syuhh Syuhh untuk menghalau mereka. Meskipun wajah2 mereka ada yang comel dan ada juga yang kelihatan menggerunkan, apabila buat begitu, anjing2 itu tetap takut sama manusia. Sekonyong2 saya belajar cara-cara menjinakkan anjing.

Tetapi Shikin tetap tidak berpuas hati, kerana dia khuatir terdapat banyak lagi anjing yang bakal menanti di depan. Tiba-tiba lalu seorang wanita muda dalam lingkungan awal 30-an. Shikin dengan skillnya, memohon agar wanita itu menemani kami untuk sampai ke air terjun. Walau dalam keadaaan takut, semangat ingin melihat waterfall tidak pernah luntur.

Di sinilah kami menyaksikan bagaimana orang-orang Bali ini sangat baik, beradab dan suka menolong. Dengan lemah lembut dan sopan bahasanya, dia mengiringi kami hinggalah sampai ke kawsan air terjun. Bukan hanya mengiringi, malah sanggup pula menunggu dan menemani kami sampai puas bergambar-gambar bersama air terjun. Terus hilang ketakutan Daeng Shikin apabila melihat gambarnya yang diambil DSLR saya sangat cantik seolah-olah kami berada dalam satu kawasan dalam fantasi. Tinggi air terjunnya. Tempias2 air sangat dingin. Bunyinya mengasyikkan. Puas rasanya dan berbaloi kami kepenatan turun dan naik bukit untuk ke kawasan itu.





Dalam perjalanan balik menuju ke kereta, kami singgah sebentar ke kedai wanita tersebut untuk membeli sedikit barang sebagai tanda terima kasih kami kepadanya. Koma (nama wanita itu), jasa dan kesabaranmu akan kami kenang. Tapi aduhhh malunya saya.. selama saya berbual dengannya, dengan yakin saya memanggilnya Komang.

“Bukan Komang lah! Koma!” Bilang Shikin.

Dengan semangat, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya yang sejuk-sejuk nyaman itu.

Bersambung...

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors