Thursday, April 27, 2017

{365 - one photo a day, everyday} March 2017

Eh.. eh.. boleh terlambat pula kemas kini kisah bulan March kami. Bila buka blog.. laa.. rupa-rupanya sudah sebulan lebih tidak ber-update. Sebenarnya 24 jam Tuhan bagi dalam sehari tu sememangnya sudah elok-elok sahaja.. cuma saya insan yang lemah lagi tak mampu ini yang sebenarnya mungkin masih belum begitu bijak mengurus masa, maka ada sahaja yang ingin dilakukan, tidak sempat sahaja alasannya.

Tidak berapa hari lagi maka berakhirlah bulan April. Bulan March yang lepas, seperti kebiasaan hari-hari yang lain, rutin dilalui seadanya seperti biasa. Tiada apa yang perubahan atau peristiwa-peristiwa yang berlaku mengejut atau mendadak. Meskipun begitu, setiap hari ada sahaja pelajaran-pelajaran kehidupan baru yang dikutip; dengan sengaja ataupun diluar sangkaan.

"Sekiranya kamu terasa tiba-tiba teringin mahu melakukan kebaikan, maka terus sahaja lakukan. Jangan banyak fikir itu dan ini. Buat sahaja dan jangan ditangguh-tangguh. Sebab bila Tuhan sudah menggerakkan hati kita untuk buat sesuatu yang baik, bermakna ada sesuatu yang Dia ingin beri. Buat sahaja. Jangan fikir banyak."

Itulah ungkapan yang diucapkan oleh ibu kepada salah seorang pelanggan saya, yang saya mempunyai peluang menemuinya di Terengganu untuk satu sesi fotografi yang anaknya mahu lakukan di kampung. Ya, kami berkesempatan ke Kuala Terengganu pada hujung bulan March yang lepas, merakam suasana kampung di sebuah rumah tempat membesarnya 14 orang adik beradik satu ketika dahulu. Pengalaman itu akan saya ingat kerana setiap orang yang hadir dalam hidup saya terutamanya mereka yang lebih tua daripada saya, apabila memberi nasihat, akan kuat saya semat dalam hati. Setiap butir bicara mereka adalah ibarat mutiara berharga. Melalui pekerjaan saya ini, banyak ilmu yang saya kaut melalui orang-orang yang telah saya jumpa. Tinggal saya sahaja, mahu mengutipnya atau biarkan ia berlalu begitu sahaja.

Itulah antara kenangan manis saya sepanjang bulan March yang tak mungkin saya lupakan. Di samping dapat menghirup angin pantai Cherating bersama keluarga yang sungguh-sungguh menyegarkan setelah penat 'berjuang' menguruskan itu ini seperti penatnya orang lain juga. Maka vitamin Sea itu telah betul-betul 'menyembuhkan' saya. Telah saya catatkan kenangan tentang itu di sini. Kami juga berkesempatan ke Alor Setar Kedah, dan puas makan seafood di Tanjung Dawai. Terbayang pula saya sekarang akan ketam yang sedap itu.

Terima kasih Tuhan untuk kesihatan yang masih ada dalam diri ini buat saya dapat menikmati segala yang diberi dengan hati yang penuh syukur dan lapang. Alhamdulillah.



{Sekiranya ingin mengikuti projek 365 saya ini; tuan-tuan dan puan-puan bolehlah mengikutinya di akaun instagram saya di sini : www.instagram.com/zubyerusli  }

Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors