Wednesday, July 12, 2017

Hitam putih Ramadhan

Bulan Ramadhan nampaknya pada saya, kamera pun turut berpuasa :-p. Tidak banyak gambar yang diambil pada bulan ini, hanya sempat rakam melalui handphone sahaja. Pada cuti Nuzul Quran, barulah kamera saya keluar dari sarangnya dan saya membawanya ke rumah Abang Long kami untuk majlis berbuka puasa bersama keluarga. Kami sekarang tinggal 8 beradik - seorang abang saya telahpun meninggal dunia, satu keluarga besar yang sangat saya syukuri nikmatnya. Tahun ini ibu dan ayah buat satu tradisi, yakni berkunjung ke rumah setiap dari seorang anak-anak untuk berbuka puasa bersama. Gambar-gambar di bawah ini adalah apabila sampai 'turn' abang sulong kami yang kebetulan dibuat pada hari cuti. Maka kami semua pun dapat berbuka puasa bersama-sama. Berbuka puasa dan berkumpul satu keluarga adalah satu nikmat yang tidak terkata. Setelah Abang Ngah kami meninggal dunia, saya semakin menghargai setiap perkara-perkara kecil yang berlaku dan setiap masa yang diluangkan bersama.










Giliran Hari Raya pada tahun ini pula adalah di sebelah kampung suami iaitu di Kuching Sarawak. Kami pulang awal 3 hari sebelum sambutan hari raya. Maka sempatlah juga menikmati Ramadhan di sana. Sudah pasti apa yang dinantikan kami adalah masakan yang dimasak emak yang bukan selalu dapat kami rasai, lebih-lebih lagi kerana jarak yang agak jauh memisahkan. Terutamanya suami, apabila menikmati masakan emak, segala kenangan waktu kecil terimbau. Begitu jugalah yang saya harapkan berlaku pada anak kami apabila dia sudah besar kelak. Yang bila jauh mana pun kakinya dibawa melangkah, biarlah air tangan saya yang tetap dirinduinya.

Ramadhan yang setiap kali kedatangannya kita rindukan itu terlalu indah untuk saya lakarkan dengan gambar mahupun tulisan. Nikmat bekeluarga, nikmat berkasih sayang, nikmat beribadah yang istimewanya terasa lebih dari bulan-bulan lain.  Melihat wajah-wajah tua ibu dan ayah kita, dapat dirasakan masa berlalu begitu laju. Hidup ini sangat singkat. Selagi termampu, kita buatlah yang terbaik untuk memelihara silaturrahim. Moga panjang umur kita semua untuk menikmati Ramadhan pada tahun-tahun akan datang.







Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors