Friday, August 25, 2017

Truly A Warrior | Kuala Lumpur, Selangor Malaysia Family Photographer

Pengalamannya sangat berlainan kali ini. Bermain dengan emosi waktu merakam gambar mereka, berterusan pula hingga sampai saat meng edit. Emosi itu tidak jelas saya perlihatkan di hadapan keluarga ini ketika kami bertemu, kerana saya tahu yang perlu saya pamerkan ialah kekuatan. Apalagi berhadapan dengan mereka ini yang saya fikir punya kekuatan rohani melebihi rata-rata orang lain.

Anas dan keluarganya sememangnya pahlawan-pahlawan sebenar. Anas disahkan menghidap penyakit leukimia penghujung tahun lepas selepas mengalami beberapa siri demam yang sekejap datang dan sekejap pergi. Beberapa siri lawatan ke klinik juga dibuat, sehinggalah Anas dinasihatkan oleh doktor untuk dibuat pemeriksaan lanjut ke hospital. Setelah beberapa pemeriksaan dibuat, barulah tahu tentang penyakitnya.

Anas seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria ketika saya merakam gambarnya. Anas bermain seperti kanak-kanak yang lain seusia dengannya. Dilihat dengan mata kasar, tidak ada yang akan menyangka ada penyakit yang hinggap di tubuh kecilnya. Bergelak ketawa Anas sungguh gembira. Ada waktu-waktunya beberapa kali dia kata pada saya.. "Anas kuat Aunty! Anas kuat!" Hakikatnya memang Anas seorang anak yang kuat. Melalui hari-harinya dengan kecekalan dan semangat yang tinggi. Bila melihat ibunya, tahulah saya daripada mana Anas mewarisi kecekalan itu.

Ibu Anas mengatakan kepada saya dia redha dengan apa yang berlaku, dan usaha mereka tidak pernah putus untuk mengubati penyakit Anas.  Sampai ayah Anas sanggup mengambil cuti untuk menjaga Anas melalui setiap rawatannya. Rawatan itu termasuklah beberapa siri kemoterapi. Setiap percakapan yang keluar dari mulut mereka diiringi dengan wajah yang tenang. Membuatkan ada sesuatu tentang keluarga ini yang mesti saya contohi.

Terima kasih Anas dan keluarga untuk satu pagi yang indah; melapangkan masa untuk dirakam memori-memori buatmu sekeluarga. Hati Aunty Zubye sangat dekat dengan Anas, dan insyaAllah selagi tidak terlupa, Aunty sentiasa doakan kesejahteraan buat Anas dan kekuatan buat ibu dan ayah Anas.

Untuk para pembaca semua, mohon doakan keluarga ini. Anas perlukan doa ikhlas dari kita semua. Anas masih lagi menjalani rawatan kemoterapi untuk membuang segala sel-sel kansernya. Allah jua Yang Maha Berkuasa untuk mengembalikan kesihatan Anas seperti sediakala. Tiada yang mustahil bila Allah berkehendak untuk memulihkan. Ya Allah, bantulah.


Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors