Monday, November 13, 2017

In-home Documentary Session with Grandparents | Kuala Lumpur Malaysia Family Photographer

Sesi ini sudah lama. Pertengahan tahun lepas, saya berpeluang ke Ipoh untuk merakam cerita sebuah keluarga yang kisahnya agak menyentuh hati saya. Permintaan datang dari seorang anak, yang berhasrat dapat menyimpan momen-momen indah bersama ibu dan ayah sementara mereka masih ada. Dalam masa yang sama, saya juga berpeluang untuk merakam kasih sayang yang jelas dipaparkan oleh seorang atok dan nenek terhadap cucu-cucu mereka. Satu kenangan yang akan terpahat untuk generasi akan datang. Apalagi apabila gambar-gambar ini diambil di sebuah rumah yang banyak menyimpan sejarah keluarga mereka. Alangkah istimewa nilainya.

Ayah, tubuh dan kudratnya masih kuat. Cuma ingatan kadang-kadang sudah tidak sekuat tubuhnya lagi. Hati saya tersentuh apabila anak dan isterinya bercerita yang mana kadangkala ayah sudah kerap terlupa. Mengambil masa yang lama untuk mengingat siapa yang berada di hadapannya meskipun mereka adalah anak-anak dan cucu-cucunya sendiri. Manakala Allah masih mengurniakan ibu ingatan yang kuat meski di umur yang lanjut, tetapi fizikal nya pula sudah tidak sekuat mana. Walaupun dalam keadaan uzur begitu, senyum mereka tidak pernah lekang di bibir.
Air muka mereka jelas bahagia dikelilingi anak dan cucu-cucu.

Apalah yang terbayang di fikiran dan hati saya ketika merakam gambar mereka kalau bukan ibu dan ayah saya sendiri. Beruntunglah yang masih punya ibu dan ayah; syurga kita ada pada mereka. Pulanglah menjenguk. Tanyalah khabar. Kerana apabila mereka sudah tiada lagi, hilanglah satu keberkatan hidup kita iaitu doa tulus dari mereka.

Buat Roseleen, terima kasih memberikan saya pengalaman yang cukup berharga ini. Doa saya agar pakcik dan makcik diberi sebaik-baik rahmat oleh Allah dan dimudahkan apa jua urusan mereka. Pertemuan yang singkat hari itu, ilmu daripadanya akan saya ingat sampai bila-bila.


Blog Archive

Contact

E-mail : eyesofgrace@gmail.com

Followers

Online Visitors